Selamat Datang Ke Laman Askar Wataniah Kolej Universiti TATi

Rabu, 23 Julai 2008

Unit Keselamatan Sempena Hari Terbuka TATiUC

Sempena Hari Terbuka TATiUC 2008 unit PAWTATiUC ditugaskan untuk menjaga keselamatan sepanjang hari terbuka tersebut pada 7 dan 8 Ogos 2008.
Terbuka kepada 20 anggota untuk sukarela bertugas pada hari terbuka TATiUC.

Tarikh : 7 - 8 Ogos 2008
Hari : Khamis - Jumaat
Pakaian : Pakaian No.5

Bil. Nama

  • 1) 6194136 Muhammad Badiozaman Bin Mohd Robi
  • 2) 6197134 Muhammad Azri Bin Omar
  • 3) 6197139 Mohd Hanafi Bin Yusof
  • 4) 6197156 Muhammad Faiz Bin Abd kadir
  • 5) 6197142 Hafiz Bin Ahmad
  • 6) 6197141 Muhd Fazlan Bin Ramli
  • 7) 6197138 Muhammad Hilmi Bin Ahmad Mustapha
  • 8) 6197145 Zaitul Akma Binti Ab Rashid
  • 9) 6197163 Nor Amirah Binti Mustafa
  • 10) 6197162 Sarah Aqilah inti Muda
  • 11) 6197135 Mohamed Irsyad Bin Ahmad Nawawi
  • 12) 6197146 Nor Ahmad Muttaqin Bin Mohd Sariful Lim
  • 13) 6197150 Mohd Ferozee Bin Ismail
  • 14) 6197151 Ridzuan Bin Mansor
  • 15) 6167855 Azley Reezal Bin Abd Rashid
  • 16) Wan Noorul Nazreena Binti Wan Azmi
  • 17) Nur Faezah Binti Kamaruddin
  • 18) Fatin Farahana Binti Mohamad
  • 19) Shaidatul Akmal Binti Ahmad Rosdi
  • 20) Muhd Firdaus Bin Rosli

**Pakaian No.5 boleh dapatkan dengan harga RM 60.00. Sila berurusan dengan saya atau saudara Badiozaman (TDM)..
Sesiapa yang berminat untuk bertugas pada Hari Terbuka TATiUC sila SMS kan Nama, Kos & No.matrik, serta saiz Spike Boot dengan kadar segera ke 0125417847- Azri

Ahad, 20 Julai 2008

Perjumpaan Ahli Baru dan lama PAWTATiUC

SATU PERJUMPAAN AHLI BARU DAN LAMA AKAN DIADAKAN DI
TEMPAT : THEATRETTE A
TARIKH : 22 JULAI 2008 (SELASA)
MASA : 9.00 PM


"Taat dan bersedia setiap masa"

KEMUDAHAN YANG PEROLEHI DI DALAM ASKAR WATANIAH

  • Sumbangan terus kepada pertahanan negara.
  • Mengisi masa lapang yang sebaliknya akan terbiar sekiranya tidak menyertai sebarang kumpulan sosial.
  • Mempelajari kepakaran dalam pasukan Askar Wataniah yang dipilih.
  • Membina dan membangunkan perwatakan tanpa mengeluarkan wang ringgit.
  • Elaun semasa latihan hujung minggu dan gaji bagi latihan melebihi 72 jam dan perkhemahan tahunan.
  • Bounti tahunan.
  • Perlindungan kemalangan sama seperti Angkatan Tetap.
  • Elaun perjalanan ke tempat latihan dan kemudahan perubatan.
  • Boleh menyertai Insuran Berkumpul ATM.
  • Cuti tanpa rekod bagi menyertai latihan selama 30 hari dalam satu tahun (bagi kakitangan kerajaan sahaja).
  • Boleh dikerah untuk berkhidmat sepenuh masa mengisi perjawatan tetap dalam kor-kor yang berkaitan bagi mereka yang layak.

SYARAT-SYARAT MENYERTAI ASKAR WATANIAH

Syarat-syarat yang berkuatkuasa untuk membolehkan seseorang untuk masuk berkhidmat sebagai pegawai atau anggota sukarela di dalam Rejimen Askar Wataniah adalah seperti berikut:
Syarat-syarat Lelaki Wanita
Warganegara Malaysia Malaysia
Ketinggian 1.62 m (5' 2") - minima 1.57 m (4' 8") - minima
Umur 18 - 40 tahun 18 - 40 tahun
Berat Badan 50 kg (105 lb) - minima 48kg (95 lb) - minima
Ukuran dada Biasa - 76.2cm (minima)
Tarik nafas - 81.2cm (minima)
-

Dokumen yang perlu disertakan (Photostat)

  • Kad Pengenalan - 4 salinan
  • Sijil Warganegara (Jika ada)
  • Surat Beranak - 4 salinan
  • Sijil berhenti sekolah
  • Sijil kelulusan akademik tertinggi
  • 4 keping gambar warna ukuran paspot
  • Sijil nikah dan surat beranak anak (jika berkahwin)

IKRAR KESATRIA

Kami berikrar:

1. Beriman kepada Tuhan dan bertaqwa kepadaNya

2. Setia kepada negara dan sedia berkorban demi kepentingannya dengan tidak sekali-kali mengenal menyerah

3. Memegang teguh disiplin tentera dan senantiasa menjunjung tinggi sikap keperwiraan dan kehormatan tentera.

4. Mengutamakan perlaksanaan tugas dengan jujur dan ikhlas

5. Menyimpan rahsia negara dengan seketat-ketatnya

LAGU ASKAR WATANIAH

Ini satu harapan
Dari barisan sukarelawan
Penuh semangat dan keyakinan
Berdiri sebagai pahlawan

Mari muda dan mudi
Menyahutlah seruan pertiwi
Tak kenal keturunan ataupun bangsa
Berkhidmat dengan bangganya

Kami sukarelawan
Juga sukarelawati
Kami rela berhadapan
Berundur tak sekali-kali

Ini azam dan janji
Menjadi satu sumpahan kami
Taat dan bersedia setiap masa
Berkhidmat untuk negara

REJIMEN SIRI 500 ASKAR WATANIAH


  • Pasukan Rejimen siri 500
  • Elemen Tempur
  • Elemen Bantuan Tempur
  • Elemen Bantuan Perkhidmatan
  • Elemen Pakar
  • Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES)
  • Pasukan Kerahan

REJIMEN SIRI 500

    Elemen ini merupakan elemen yang memainkan peranan sama seperti pasukan-pasukan infantri Angkatan Tetap. Terdapat sebanyak 12 Rejimen Siri 500 AW. Sebanyak tiga Batalion yang dikendalikan sebilang masa di setiap rejimen.

ELEMEN TEMPUR & ELEMEN BANTUAN TEMPUR

Elemen ini mengandungi elemen kor-kor seperti berikut:

  • Kor Armor
  • Kor Semboyan
  • Kor Jurutera
  • Kor Artileri
  • Kor Risik
Armor
Satu Skuadron Armor AW diwujudkan sebagai unit integrasi didalam setiap Rejimen Armor bertempat di Port Dickson, Kuantan, Sg. Petani, Kuching dan Kota Belut, Sabah.

Semboyan
Skuadron-skuadron Semboyan Medan AW terletak di Kuala Lumpur,Ipoh dan Sg. Besi.

Jurutera
Skuadron-skuadron jurutera Medan AW terletak di Kuala Terengaanu, Kajang, Kluang dan Pulau Pinang.

Artileri
Satu bateri artileri AW diwujudkan dengan diintegrasikan didalam Rejimen Artileri bertempat di Kota Bharu, Taiping, Kluang, Melaka, Seremban, dan Kuala Lumpur.

Risik
Kor Risik mempunyai sebuah unit yang dikenali sebagai 12 KPD (AW) dan diintegrasikan ke KPD (Tetap). Unit ini ditubuhkan pada bulan April 1990 dan berfungsi dalam kawasan pemerintahan 2 Div.

ELEMEN BANTUAN PERKHIDMATAN

Elemen ini mengandungi :

  • Kor Perkhidmatan
  • Kor Ordanan
  • Kor Jurutera Letrik dan Jentera
  • Kor Kesihatan
  • Kor Polis dan Tentera
Kor Perkhidmatan
Terdapat lima kompeni Angkut AW. Satu Kompeni Bekalan dan Platun Hantaran Udara AW. Lokasi unit-unit adalah di Seremban, Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Kota Bharu.Kompeni Bekalan di Kuala Lumpur manakala Platun Hantaran Udara di Taiping.

Kor Ordanan
Terdapat satu kumpulan Ordnan Briged AW yang bertempat di Kuala Lumpur dan terdapat unit KOB AW diwuudkan dengan diintegrasikan kepada unit tetap di Kuching, Taiping, Melaka dan Kuantan.

Kor Jurutera Letrik dan Jentera
Terdapat 2 workshop JLJ AW iaitu di Ipoh dan Kuala Lumpur manakala 4 workshop Medan AW yang bertempat di Taiping, Melaka, Kuantan dan Kuching.

Kor Kesihatan
Terdapat sebanyak 4 Kompeni Ubat AW bertempat di Kuantan, KLuang, Sg. Petani dan Kuching.

Kor Polis dan Tentera
Sebanyak 4 Kompeni Polis Tentera ditubuhkan di Pulau Pinang, Kuantan, Sg. Buloh dan Kem Genting.


ELEMEN PAKAR

    Rejimen-rejimen pakar bertugas di dalam penyelenggaraan dan pengendalian (operation) sektor-sektor penting negara. Pegawai dan Anggota adalah terdiri daripada kakitangan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan di mana tugas hakiki mereka adalah berkenaan dengan sektor-sektor tersebut.

    Kor semboyan dan kor jurutera juga mempunyai unit-unit pakar seperti berikut :

    Unit Pakar Semboyan
    Unit ini adalah khusus bagi urusan penyelenggaraan perhubungan. Keanggotaan unit pakar ini terdiri dari kakitangan Telekom Malaysia
    .

    Unit Pakar Jurutera
    Elemen Pakar Jurutera terdiri daripada :

  • Unit Pakar Pelabuhan
  • Unit Pakar Keretapi
  • Unit Pakar Pengendalian Air
  • Unit Pakar Pengendalian Janakuasa

    Unit Pakar Pelabuhan
    Unit-unit ini ditubuhkan di pelabuhan-pelabuhan utama negara. Keanggotaan terdiri daripada kakitangan pekerja pelabuhan Kuantan, Klang, Pulau Pinang, Bintulu dan Kuching.

    Unit Pakar Keretapi
    Unit ini bertanggungjawab bagi menyelenggara KTMB semasa darurat. Keanggotaan unit ini adalah dari kakitangan KTMB.

    Unit Pakar Pengendalian Air
    Unit ini khusus untuk dianggotai oleh pekerja Tenaga Bekalan Air

    Unit Pakar Pengendalian Janakuasa
    Unit ini khusus untuk dianggotai oleh pekerja Tenaga Nasional Berhad

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES)

PALAPES ditubuhkan ditujuh Institut Pengajian Tinggi sebagai pusat pengeluaran pegawai dari kakitangan mahasiswa dan mahasiswi.

UNIT-UNIT AW YANG DIKERAH

Unit-unit yang dikerah adalah ditugaskan untuk menjaga keselamatan Lebuhraya Timur-Barat, OPerasi di kawasan Kedah, Perlis, Perak, Kelantan dan juga keselamatan sasaran penting dan kawasan-kawasan penting negara.

Batalion Siri 300
Unit-unit ini dikerah untuk menjaga keselamatan Lebuhraya Timur-Barat dan OPerasi Pagar di kawasan Kedah dan Perlis serta Perak dan Kelantan.

Sasaran Penting
Unit sasaran penting diwujudkan ditempat-tempat strategik negara dan terletak di bawah pentadbiran briged tempatan.

PERANAN & TUGAS ASKAR WATANIAH KE ARAH MATLAMAT DASAR PERTAHANAN NEGARA

AM

Melalui Dasar Pertahanan Negara, kerajaan telah menggariskan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) atau Total Defence sebagai salah satu daripada elemen dalam Dasar Pertahanan Negara yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada bulan Mei 1986. Di dalam konteks HANRUH, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan usaha-usaha yang menyeluruh bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk menentukan pemeliharaan kedaulatan dan keutuhan negara pada sebilang masa. Aspek-aspek yang dipertekankan di dalam HANRUH bukan saja meliputi ketenteraan bahkan aspek pembentukan pemikiran rohani dan jasmani, material, perkhidmatan dan sumber manusia. HANRUH mengandungi dua komponen iaitu Angkatan Tetap (Regular Force) dan Angkatan Simpanan (Volunteer Force) yang telah dikenali sebagai Askar Wataniah. Kedua-dua angkatan ini hendaklah dianggap sebagai satu angkatan yang sama-sama menggunakan sumber yang diperuntukan untuk benteng pertahanan negara.

PERANAN

Konsep Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) antara lain juga telah menggariskan bahawa Askar Wataniah mempunyai misi yang sama dengan Angkatan Tetap. Walaupun demikian, peranan yang dimainkan oleh Askar Wataniah adalah berbeza. Peranan Askar Wataniah adalah seperti berikut:

  • Untuk meng`augment' Angkatan Tetap supaya dapat berganding dan bersama-sama dengannya mengadakan paras kekuatan yang diperlukan untuk mempertahankan kepentingan strategik negara dimasa darurat atau perang.

  • Membantu Angkatan Tetap dalam operasi keselamatan dan dalam hal ini ianya mestilah bersedia untuk dimobilisasi dan diaturgerak bila keadaan memerlukan.

  • Membantu dan kerjasama dengan pihak berkuasa awam dimasa-masa bencana alam dan kecemasan awam yang memerlukan.

TUGAS

Bersesuaian dengan peranan di atas, Askar Wataniah haruslah mampu melaksanakan tugas-tugas seperti berikut:

  • Bersedia untuk diaturgerakkan untuk mengambil alih tanggung jawab pasukan tetap apabila pasukan tetap ditugaskan melaksanakan misi-misi tertentu.

  • Membantu pertahanan tempatan di sesuatu sektor.

  • Mengadakan pertahanan kepada sasaran dan instalasi penting (key/essential points) dan kawasan-kawasan penentuan (critical points).

  • Mengadakan tenaga pengganti untuk Angkatan Tetap.

  • Mengendalikan dan meyelaraskan perkhidmatan penting bila diperlukan.

  • Bertindak sebagai agensi perisik.

  • Melindungi dan menyelenggarakan saluran komunikasi (Lines of Communication).

  • Bersedia untuk membantu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa awam di dalam menangani kejadian-kejadian bencana alam dan kecemasan yang memerlukan.

SEJARAH PENUBUHAN ASKAR WATANIAH


Askar Wataniah Malaysia (AW) adalah badan sukarela yang berlainan daripada badan-badan sukarela yang lain. AW merupakan Angkatan Simpanan Tentera Darat Malaysia sebagai benteng kedua dalam mempertahankan negara kita yang tercinta. Penyertaan rakyat dalam AW merupakan satu sumbangan murni bagi menyahut seruan pertiwi sesuai dengan konsep HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) yang ditetapkan dalam Dasar Pertahanan Negara. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan berwawasan, penglibatan rakyat dan semua pihak adalah amat perlu bagi memainkan peranan dalam pembangunan serta pertahanan negara.HANRUH antaranya menetapkan bantuan nasional termasuk penggemblengan semua sumber negara di samping penglibatan Angkatan Tentera Malaysia.

Penyertaan rakyat dalam Angkatan Sukarela di Semenanjung Malaysia bermula semenjak 1902 lagi apabila Kerajaan Inggeris menubuhkan Pasukan Sukarela di Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang dipanggil Federated Malay States Volunteer Force (FMSVF), Pasukan Sukarela di Negeri Melayu Tidak Bersekutu pula dipanggil Unfederated Malay States Volunteer Force (UNFMSVF) dan di Negeri-Negeri Selat pula ialah The Straits Settlement Volunteer Force (SSVF).

Pasukan-pasukan Sukarela telah memainkan peranan yang begitu penting terutamanya semasa dalam Peperangan Dunia Kedua, darurat 1948-1960 dan konfrontasi. Semasa darurat ia dikenali sebagai 'Home Guard'. Pasukan ini telah disusun semula sebagai Pasukan Pertahanan Tempatan pada 1 Jun 1958 dan seterusnya dikenali sebagai Askar Wataniah Malaysia.

LATARBELAKANG PENUBUHAN PASUKAN SUKARELA

Pasukan Sukarela di Tanah Melayu bermula di Negeri-Negeri Selat. Singapura sebagai pusat pentadbiran kerajaan British di Tanah Melayu merupakan negeri pertama menubuhkannya pada tahun 1854. Penubuhan Singapore Volunteer Corps (SVC) ini telah mendapat sokongan daripada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Kolonel W. J. Butterworth, dan telah memperbadankannya melalui pengkuatkuasaan Akta pada 23 Oktober 1857.

Pada 22 Feb 1888, SVC Meriam telah ditubuhkan dan ia dikenali sebagai Singapore Volunteer Artillery Corps (SVA). Sehingga ke tahun 1901, SVC telah berjaya menubuhkan beberapa kor lain seperti :

  • Singapore Volunteer Rifles (SVR)

  • Singapore Volunteer Engineer (SVE)

  • Singapore Volunteer Infantry (SVI)

Pasukan Sukarela pertama yang ditubuhkan di Semenanjung ialah di Pulau Pinang pada 1861. Pasukan ini dikenali sebagai Penang Volunteers dan telah dilembagakan sebagai sebuah pasukan infantri melalui kuatkuasa Volunteer Ordinance 1888. Pada ketika itu keanggotaan ialah seramai 60 orang, terdiri daripada orang berbangsa Eropah dan Serani. Pada 29 Jun 1899, Penang Volunteers yang kedua telah ditubuhkan. Kapten Arthur Adam telah dilantik menjadi Pemangku Komandan.

Pada 25 Oktober 1901 pula telah ditubuhkan satu kompeni SVC di Melaka diketuai oleh Kapten R.N. Bland. Keanggotaannya adalah seramai 47 orang terdiri daripada orang Eropah, Cina, Melayu dan Serani. Manakala di Seberang Perai atau Province Wellesley, pada tahun 1915 telah ditubuhkan Pasukan Pertahanan Tempatan. Pasukan ini dikenali sebagai Province Wellesley Volunteer Rifles (P&PWVR). Kapten W. Duncan (Pengurus Ladang Kumpulan Caledonia) telah dilantik menjadi Pegawai Rentah pertama pasukan ini.

Pada tahun 1902, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang terdiri daripada negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan telah mula menubuhkan unit Sukarela yang dikenali sebagai Malay States Volunteer Rifles (MSVR).

Unit -unit telah dilengkapi dengan dua pucuk "machine gun" yang telah dihadiahkan oleh Dr. Loke Yew, CMG di Selangor. Manakala keanggotaan MSVR Perak adalah terdiri daripada pelombong bijih timah.

Justeru itu, Selangor merupakan negeri pertama dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang menubuhkan MSVR. Pegawai-pegawai British telah memainkan peranan penting dalam usaha penubuhan ini. Di samping itu, mereka juga telah digalakkan menyertainya. Sementara itu, semua Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah dan Ketua Polis Daerah telah diarah untuk menubuhkan MSVR di daerah masing-masing. Kebanyakan pegawai MSVR ini terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Awam Malaya (MCS) yang pada kebiasaannya Pegawai Daerah sendiri menjadi pemerintah.

Untuk menggalakkan lebih ramai pegawai atasan menyertai MSVR, beberapa keistimewaan telah diberikan kepada mereka. Antaranya, memberi kenaikan pangkat dengan cepat. Di samping itu sambutan daripada pembesar-pembesar lain amat menggalakkan. Antara pembesar-pembesar yang menyertai MSVR ialah Datok Naning Usman bin Kering (Ketua Adat Luak Naning, di Melaka) dan Raja Aman Shah bin Raja Harun Ar-Rashid (cucu kepada Sultan Idris, di Perak).

Dalam tahun 1913, Enakmen Sukarelawan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah dikuatkuasakan dan ini telah mendorong Negeri-Negeri Melayu yang lain (Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu atau Unfederated Malay States) menubuhkan pasukan Sukarela masing-masing. Negeri-negeri yang telah menubuhkan pasukan Sukarela masing-masing adalah Johor (1914), Kelantan (1917) dan Kedah (1930).

Pasukan-pasukan ini dikenali sebagai Unfederated Malay States Volunteer Force (UFMSVF). Menjelang tahun 1915, di samping MSVR, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pula menubuhkan The Malayan Volunteer Infantry (MVI).

  • The Malayan Volunteer Infantry, Perak - Mac 1915

  • The Malayan Volunteer Infantry, Selangor - 1915/1916

  • The Malayan Volunteer Infantry, Pahang - April 1916

  • The Malayan Volunteer Infantry, N. Sembilan - Sept 1916

PENYUSUNAN SEMULA

Tahun 1921 sehingga 1937 merupakan satu era penyusunan semula ke atas pasukan Sukarela di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. Di Negeri-negeri Selat, Pasukan SVC, SVA dan SVI, memulakan proses penyusunan semula pada 1921. Pasukan-pasukan ini telah digabungkan dan diberi nama baru sebagai Straits Settlement Volunteer Force (SSVF) dengan ibu pejabatnya di Singapura. Leftenan Kolonel P. E. Spencer telah dilantik menjadi Komandan SSVF yang pertama dan di samping itu, terdapat juga orang-orang Melayu yang telah diberi jawatan pegawai, terutama daripada pasukan SSVF Melaka seperti :

  • Kapten Muhd Ali bin Maidin.

  • Leftenan Abbas bin Said (kemudiannya memasuki Askar Melayu).

  • Leftenan Abu Bakar bin Umar.

  • Leftenan Jetti bin Ahmad.

  • Leftenan Usman bin Kering (Datok Naning).

Manakala pada tahun 1937, pasukan Sukarela Malay States Volunteer Rifles (MSVR) juga telah disusun semula dan diberi nama baru yang dikenali sebagai Federated Malay States Volunteer Force (FMSVF). Semasa Perang Dunia Kedua, pasukan inilah sebenarnya yang terlibat penuh membantu angkatan tentera lain untuk menentang Jepun.

Pasukan ini mempunyai batalion-batalionnya di setiap negeri, di samping itu mempunyai kompeni 'machine gun', kompeni orang Cina dan pasukan meriam (light battery). Pecahan batalionnya adalah seperti berikut:

  • Batalion 1 - Perak

  • Batalion 2 - Selangor

  • Batalion 3 - Negeri Sembilan

  • Batalion 4 - Pahang

Dari gagasan P&PWVF, SSVF dan FMSVF inilah bermulanya sejarah pasukan Sukarela di negara ini. Secara amnya dapat disimpulkan bahawa Perang Dunia Pertama (1914-1918) telah menjadi faktor penggerak penubuhan pasukan Sukarela, dan di antara pusat pasukan Sukarela yang ulung sekali ditubuhkan ialah di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim. Pasukan ini dikenali sebagai Sultan Idris Training College Volunteer Force atau SITCVF.

Pada tahun 1929, satu kontinjen Sukarela dari Tanah Melayu telah dihantar ke England untuk menghadiri upacara kemahkotaan Raja dan Ratu United Kingdom. Manakala pada tahun 1934, telah memperlihatkan P&PWVF dan MSVR dianugerahkan Panji-panji Rejimen masing-masing di samping menerima Panji-Panji DiRaja.

PENGORBANAN PASUKAN SUKARELA

Dalam tahun 1941, Jepun telah mengisytiharkan perang ke atas Malaya dan mula mendarat di Kota Bharu pada 8 Disember 1941. Dengan kehadiran Jepun itu semua anggota pasukan Sukarela dari FMSVF, UFMSVF, SSVF dan SITCVF telah dikerah berkhidmat sepenuh masa bersama-sama tentera British dan Askar Melayu untuk menentang tentera Jepun.

Pada 15 Februari 1942, pihak British telah diisytiharkan kalah kepada Jepun. Ramai di antara anggota-anggota Sukarela berkenaan telah terkorban dan menerima nasib yang sama seperti anggota-anggota pasukan Tetap. Mereka yang ditawan telah ditempatkan di khemah tahanan Ferrer Park, Singapura. Ramai di antara mereka telah dihantar ke Siam sebagai buruh paksaan untuk membina landasan keretapi maut, dan salah seorang daripada mereka yang boleh dianggap sebagai wira bangsa dan dibanggakan oleh anggota sukarela ialah Allahyarham Lt Yazid bin Ahmad (dari FMSVF, meninggal semasa di Siam).

Begitu juga dengan peristiwa beberapa orang pegawai Sukarela yang sanggup menggadaikan nyawa. Pada 28 Februari 1942, beberapa orang pegawai dari pasukan sukarela telah dijatuhi hukuman bunuh oleh Jepun kerana keengganan mereka menanggalkan pakaian seragam. Di antara mereka yang dibunuh oleh Jepun ialah :

  • Kapten Raja Aman Shah bin Raja Harun Ar-Rashid (FMSVF)

  • Leftenan Abbas bin Said (SSVF)

  • Leftenan Abu Bakar bin Umar (SSVF)

  • Leftenan Usman bin Kering (Datok Naning) (SSVF)

Manakala pegawai-pegawai sukarela British yang terkorban ialah :

  • Kapten J.T. Horsburgh (SSVF)

  • Kapten H.R. Rix (FMSVF)

  • Leftenan G.D. Haggit (SSVF)

  • Leftenan G.F.D Stephen (FMSVF)

PERTEMUAN DI BATU TALAM

Pada tahun 1944, Ibu pejabat Force 136 (bertempat di Colombo), telah menghantar Leftenan Kolonel J. Douglas Richardson ke Pahang untuk mewujudkan satu kumpulan gerakan anti-Jepun. Setibanya di Pahang, beliau telah terperanjat kerana gerakan tersebut telahpun diwujudkan oleh seorang pemuda anak watan berusia dua puluh enam tahun bernama Yeop Mahidin bin Mohamed Shariff (Dato' Yeop Mahidin menjadi Pengarah Askar Wataniah yang pertama dan telah kembali kerahmatullah pada 19 Disember 1999).

Tanggal 15 Julai 1945, Leftenan Kolonel Richardson telah menulis surat kepada Yeop Mahidin untuk mengadakan pertemuan di antara mereka berdua. Pada 23 Julai 1945 bertempat di Batu Talam, Kuala Lipis, bertemulah Richardson (nama samaran Kiwi) dengan Yeop Mahidin (Singa). Perbincangan selama empat jam telah diadakan, dan di antara persetujuan yang telah dicapai ialah:

  • Satu gerakan kumpulan sulit bersama telah ditubuhkan dan kumpulan ini diberi nama Gerila WATANIAH. (Perkataan 'Wataniah' telah diilhamkan daripada perkataan Vatan iaitu kumpulan gerila di Itali yang diketuai oleh Kamal Ataturk). Yeop Mahidin telah dicadangkan menjadi Pegawai Memerintah dengan pangkat Leftenan Kolonel, manakala Sultan Pahang telah dicadangkan sebagai Kolonel Kehormat.

  • South East Asia Command (di Colombo) dan Force 136 akan memberi bekalan senjata, pakaian seragam, makanan, set komunikasi dan lain-lain keperluan.

  • Kumpulan gerakan ini ditubuhkan untuk tugas penting bagi membantu Tentera Bersekutu mengambil balik Tanah Melayu dan Singapura dari tangan Jepun. Mereka telah diberi latihan membuat serang hendap, serangan dan sabotaj untuk persiapan menghadapi Operasi Zipper.

Untuk menemui keperluan ini, Richardson telah pun mengaturkan beberapa tugas dan peranan yang patut dimainkan oleh Gerila Wataniah, termasuk:

  • Menyerang dan membinasakan Markas Tentera Jepun, termasuk ibu pejabatnya pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai.

  • Bertindak sebagai pemandu kepada Tentera Bersekutu yang telah mendarat berhampiran dengan kawasan mereka.

  • Mengagalkan rancangan Tentera Jepun yang hendak membinasakan segala benda atau perkara yang ada apabila mereka bersiap untuk berjuang atau mengundurkan diri.

  • Apabila serangan daripada pihak Tentera Bersekutu bermula, Gerila Wataniah hendaklah mematikan alat komunikasi Jepun seperti telefon dan "wireless" dengan cara menyembunyikan "switchbox"nya.

  • Menghidupkan semula semua alat komunikasi apabila tentangan terhadap Jepun telah berjaya.

  • Mempelopori pemberontakan orang awam untuk menentang Jepun di seluruh negara secara serentak.

  • Apabila Jepun sudah menyerah kalah dan kemungkinan Tentera Bersekutu belum tiba di daerah-daerah penting, Gerila Wataniah hendaklah keluar mengambil alih kawasan-kawasan tersebut untuk mewujudkan suasana tenteram bagi memastikan tidak berlakunya pertumpahan darah di kalangan penduduk-penduduk tempatan.

  • Melatih orang-orang kampung yang menyertai gerakan ini, serta mendapatkan sokongan daripada penghulu dan ketua kampung bekerjasama terlibat secara aktif dengan pasukan ini.

Di sepanjang tahun 1944, Yeop Mahidin telah dapat menarik ramai anggota awam untuk menyertai gerila ini serta berjaya menyerapkan perasaan anti-Jepun di kalangan mereka. Antara nama-nama yang terkenal pernah berada di bawahnya ialah:

  • Abdul Razak bin Hussein - Perdana Menteri Malaysia Kedua

  • Ghazali bin Shafie - Bekas Menteri Dalam Negeri

Menjelang Ogos 1945, ramai pemimpin Gerila Wataniah telah melepaskan pekerjaan awam mereka demi menyertai Gerila Wataniah sepenuhnya. Kekuatan mereka ketika itu telah meningkat seramai 254 orang. Pada Mei 1945, sekumpulan Gerila Wataniah seramai 26 orang telah melancarkan satu serang hendap ke atas konvoi Jepun yang dalam perjalanan menuju ke Gua Musang. Mereka telah berjaya membunuh 30 hingga 40 orang tentera Jepun dan memusnahkan 41 buah kenderaan. Kejadian ini amat memeranjatkan pihak Jepun kerana selama ini mereka tidak pernah mengetahui tentang kewujudan Gerila Wataniah.

DARURAT

Selepas Jepun menyerah kalah, Parti Komunis Malaya (PKM) telah mula mempertingkatkan aktiviti mereka demi menuntut hak kuasa pemerintahan. Pemberontakan bersenjata terhadap pemerintahan kerajaan British telah dilakukan, di mana pada 16 Jun 1948, satu peristiwa pembunuhan kejam ke atas tiga orang pengurus ladang di Eiphil dan Phin Soon Estates Sungai Siput, Perak telah terjadi. Berlanjutan kejadian tersebut, Darurat telah diisytiharkan di seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Ordinan Darurat telah diisytiharkan pada 19 Jun 1948 di Singapura. Kini keperluan tenaga pasukan bersenjata perlu dipenuhi untuk membantu pasukan Tetap menghadapi suasana Darurat.

Oleh kerana tindakan Komunis kian lama kian rancak, maka pihak pentadbiran British telah merombak pasukan Polis Sukarela bagi mewujudkan Pasukan 'Home Guard' dan Pasukan Kawalan Kampung (Kampung Guards). Pasukan ini terdiri daripada berbilang bangsa yang majoritinya orang Melayu dan Cina. Walau bagaimanapun, di kalangan anggota pasukan-pasukan ini, terdapat juga beberapa orang talibarut komunis. Akibatnya, banyaklah butir-butir mengenai gerakan kedua-dua pasukan ini dapat diketahui terlebih dahulu oleh pihak Komunis. Keadaan ini menyebabkan Pasukan Home Guard dan Pasukan Kawalan Kampung tidak dapat memainkan peranan dengan berkesan.

Tambahan pula, bilangan anggota pasukan-pasukan ini adalah terlalu kecil dibandingkan dengan anggota Komunis. Hal ini adalah kerana sikap kerajaan British yang sentiasa berwaspada serta berusaha untuk mengurangkan perbelanjaan menghadapi darurat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan tentera-tenteranya di Tanah Melayu. Dalam menghadapi masalah ini, kerajaan British secara bijaknya telah mempergunakan sumber-sumber dari Tanah Melayu sendiri. Pada permulaannya, penubuhan Home Guard ditumpukan di pekan-pekan kecil, kampung-kampung baru (New Villages) dan sasaran penting. Mereka telah bertindak sebagai pemberi maklumat mengenai segala aktiviti dan kegiatan Komunis. Pasukan Home Guard khususnya telah dibentuk pada Jun 1948 iaitu selepas pembubaran pasukan FMSVF.

Antara tugas-tugas utama yang dijalankan oleh mereka ialah:

  • Mengendalikan balai-balai polis.

  • Sekatan jalan raya.

  • Operasi penapisan di tempat-tempat awam.

Sehingga ke akhir tahun 1949, kebanyakan rakyat beranggapan bahawa tugas Darurat ialah tanggungjawab kerajaan dan pasukan keselamatan sahaja. Sebenarnya, menjelang tahun 1951, tidak kurang daripada 3,400 orang awam telah terbunuh akibat darurat.

Lantaran itu, Sir Henry Gurney (Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu) telah membuat satu rancangan untuk menghadapi Komunis. Rancangannya memperlihatkan penglibatan rakyat secara sukarela di dalam kempen yang dikenali sebagai Kempen Bulan Rakyat Melawan Pengganas. Dalam kempen ini , rakyat telah digalakkan menjadi sukarelawan ataupun anggota Home Guard. Faktor serta-merta yang mendorong rakyat menyahut kempen ini adalah kerana kekejaman serta keganasan Komunis yang tidak mengira mangsa khasnya dalam dua tragedi. Tragedi pertama ialah kejadian pembakaran Pekan Simpang Tiga di Sitiawan, Perak, pada 4 Februari 1950. Dalam kejadian ini, kira-kira 1,000 orang telah kehilangan rumah. Tragedi kedua, peristiwa berdarah yang berlaku di Bukit Kepong, Muar, Johor pada 23 Februari 1950. Balai Polis Bukit Kepong telah diserang dan dibakar mengakibatkan kematian sebahagian besar anggota-anggota polis biasa dan polis bantuan.

BERMULANYA PASUKAN ASKAR WATANIAH MALAYSIA

Tamatnya Darurat pada tahun 1958 (secara rasminya pada 31 Julai 1960), pasukan Home Guard telahpun diputuskan untuk pembubaran. Namun begitu, masih ramai di kalangan anggota-anggota Sukarela terutamanya daripada pasukan Home Guard masih ingin meneruskan aktiviti mereka dalam perkhidmatan Sukarela.

Walau bagaimanapun setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kerajaan telah mula sedar tentang pentingnya penglibatan rakyat dalam menjaga keamanan negara. Kerajaan berpendapat amatlah perlu semangat berkhidmat secara sukarela dihidupkan dan dikekalkan. Justeru itu, pada tahun 1958 kerajaan telah mengambil keputusan untuk menyusun semula semua pasukan Sukarela supaya ia menjadi lebih tersusun dan berkesan.

Sesuai dengan keputusan itu, satu undang-undang bagi tujuan penubuhan pasukan tersebut telah digubal. Undang-undang utama yang telah digubal ialah The Territorial Army Ordinance, 1958, The Territorial Army (Terms of Service) Regulation 1959, dan The Territorial Army (Pay and Allowances ) Rules, 1959.

Berpandukan kepada undang-undang ini, pada 1 Jun 1958, tertubuhlah pasukan Askar Wataniah Malaysia dan seorang Pengarah Askar Wataniah telah dilantik. Jabatanarah Askar Wataniah seterusnya diletakkan di bawah pengawasan dan kawalan Ketua Turus Tentera Darat. Tujuan utama penubuhan pasukan Askar Wataniah adalah untuk melatih belia-belia negara dengan latihan ketenteraan sepenuhnya supaya membolehkan mereka menjadi anggota simpanan tentera yang bersedia serta mampu membantu pasukan keselamatan mempertahankan negara apabila keadaan memerlukan.

Pada peringkat permulaan, ramai anggota bekas pasukan Home Guard, Volunteer Force, Pasukan Sukarelawan dan Pegawai Tentera yang telah bersara, menyertai Askar Wataniah dan merekalah yang menjadi pelopor kepada penubuhan pasukan Askar Wataniah ini. Untuk peringkat awal, Askar Wataniah Malaysia telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu :

  • Pasukan Teknikal

  • Pasukan Infantri

Untuk kemudahan latihan, empat kem latihan telah didirikan di tempat-tempat berikut:

  • Tanjung Keling, Melaka.

  • Mentakab, Pahang.

  • Pasir Puteh, Kelantan.

  • Siputeh, Perak.

Pada tahun 1963, sekali lagi pasukan Askar Wataniah telah terlibat dalam penyusunan semula. Pada tahun ini juga, Persekutuan Tanah Melayu telah digantikan dengan nama Malaysia yang mana ia merangkumi Singapura, Sabah dan Sarawak. Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 bagaimanapun telah ditentangi oleh kerajaan Indonesia (pimpinan Presiden Sukarno). Ini telah mengakibatkan pihak Indonesia melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia dan sekali lagi keselamatan negara terancam. Sebilangan besar anggota-anggota ini telah dikerah berkhidmat sepenuh masa bagi membantu tentera Tetap menjalankan tugas. Dengan timbulnya pelbagai ancaman terhadap keselamatan negara, pasukan Askar Wataniah mula diperbesarkan. Ia telah dibahagikan kepada dua bahagian seperti berikut:

Bahagian Pertahanan Pertama

Ia terdiri daripada Pasukan Infantri dan Pasukan Teknikal. Pasukan Infantri mengandungi 4 batalion, iaitu:

  • 11 Bn Inf AW - diserap menjadi 23 RAMD.

  • 12 Bn Inf AW - diserap menjadi 24 RAMD.

  • 13 Bn Inf AW - diserap menjadi 25 RAMD.

  • 14 Bn Inf AW - diserap menjadi 9 Renjer DiRaja.

Pasukan Teknikal pula mengandungi pasukan seperti berikut:

  • Semboyan.

  • Jurutera.

  • Pengangkutan dan Bekalan.

  • Jurutera Letrik dan Jentera.

  • Kelengkapan.

  • Probos.

Bahagian Pertahanan Kedua

Sebanyak dua belas Pasukan Pertahanan Tempatan (PPT) atau Local Defence Corps (LDC) telah ditubuhkan. Tiap-tiap sebuah negeri mempunyai satu pasukan ini, manakala Sabah menubuhkannya dalam tahun 1968 dan Sarawak pada tahun 1973.

Pada masa ini sebilangan besar pegawai dan anggota Sukarela dari beberapa pasukan LDC telah dikerah berkhidmat sepenuh masa untuk membantu Angkatan Tetap menghadapi ancaman konfrontasi ini. Tugas utama yang telah diberikan kepada Askar Wataniah Malaysia ialah menjaga keselamatan semua lokasi sasaran penting dan ada di antara mereka telah dihantar ke Singapura, Sabah dan Sarawak.

Tragedi 13 Mei 1969 sekali lagi memperlihatkan keempat-empat batalion infantri (AW) yang wujud, dikerah semula dan pada 1 Mac 1978 mereka telah diserapkan ke dalam Angkatan Tetap bagi memenuhi keperluan pembesaran Tentera Darat.

Sesuai dengan pembesaran Tentera Darat di bawah rancangan Pembangunan Istimewa Angkatan Tetap (PERISTA), Askar Wataniah Malaysia juga turut diperbesarkan. Ini telah menampakkan kepentingan Pasukan Tentera Simpanan dalam konteks keselamatan dan pembangunan negara. Pada awal tahun 80-an, pentadbiran Askar Wataniah Malaysia keseluruhannya telah diubahsuai dan disusun semula.

KERAHAN LEBUHRAYA TIMUR-BARAT (LRTB)

Hasrat kerajaan untuk membangunkan kawasan Utara Semenanjung telah dimulakan dengan pembinaan jalan raya menghubungi pekan Grik di Perak dengan Jeli di Kelantan. Usaha pembinaan ini bermula pada tahun 1974 dan pada masa yang sama wujudnya percubaan-percubaan PKM untuk menyusup masuk ke Semenanjung dari Selatan Thailand. Mereka telah menimbulkan berbagai-bagai ancaman terhadap pembinaan Lebuh raya Timur-Barat (LRTB), serta berhasrat untuk menggagalkan usaha pembinaan ini. Permulaan pengkhianatan PKM di LRTB ini adalah dengan berlakunya pemusnahan 69 buah loji/jentera pembinaan serta pembunuhan dua orang awam pada 24 Mei 1974, 11 Ogos 74 dan 19 Ogos 74. Untuk menangani situasi ini, ramai anggota Sukarela Askar Wataniah Malaysia telah dikerah berkhidmat sepenuh masa bagi menjaga keselamatan di sepanjang LRTB. Pada permulaannya anggota-anggota Kerahan ini telah disusun mengikut platun-platun dan ditugaskan di pos-pos tertentu sepanjang LRTB.

Pada tahun 80-an, struktur platun-platun ini telah disusun semula dan diwujudkan batalion-batalion infantri siri 300 bagi tujuan memperkemaskan lagi kawalan dan pentadbiran anggota Kerahan ini. Walau bagaimanapun, Batalion Siri 300 ini tidak termasuk dalam struktur atau organisasi Rejimen Askar Wataniah Malaysia kerana ia merupakan satu pasukan sementara dan kewujudannya adalah semata-mata berdasarkan keperluan operasi. Sebagaimana yang sedia maklum, Askar Wataniah adalah Pasukan Simpanan Tentera Darat yang mempunyai peranan amat penting dan penuh ertinya dalam konteks pertahanan negara kita. Dalam usia 41 tahun yang lalu banyak pengalaman telah dialami. Konfrontasi Indonesia dan peristiwa 13 Mei adalah bukti di mana tenaga anggota Askar Wataniah amat diperlukan untuk menjalankan berbagai-bagai tugas keselamatan. Pendek kata, kekuatan tentera perlu diseimbangkan bagi membendung dan menghapuskan ancaman yang dihadapi seperti :

  • Ancaman terhadap Ketenteraman Awam.

  • Ancaman berpunca dari luar negeri.

Tujuan penyusunan semula adalah untuk membentuk satu organisasi yang lebih 'functional' dan teratur demi menentukan pentadbiran yang lebih sempurna serta meninggikan lagi mutu latihan anggota-anggota Sukarela. Adalah wajar bagi Tentera Darat untuk menyediakan Pasukan Simpanan yang secukupnya dan boleh dikerah dalam masa yang singkat apabila diperlukan.

PEMBESARAN AW

Dalam perkembangan penyusunan semula pasukan Askar Wataniah telah mengstruktur semula pasukan-pasukan Siri 500 AW dengan mewujudkan rejimen-rejimen di setiap Negeri. Pada tahun 1997 Askar wataniah telah berjaya menambah 4 x Rejimen (MAT ke 353 pada 28 Julai 1996) secara 'ad-hoc' mulai 18 Ogos 1997 dengan menggunakan sumber perjawatan Bn ke 4 dan Bn ke 5 Siri 500 AW sedia ada . Rejimen-rejimen tersebut adalah seperti berikut :

  • Rej 513 AW - Sg Petani, Kedah.

  • Rej 514 AW - Bukit Beruang, Melaka.

  • Rej 515 AW - Jalan Ampang Kuala Lumpur.

  • Rej 516 AW - Tawau, Sabah.

KOMITMEN KERAJAAN NEGERI MELALUI JAWATANKUASA PENDUKUNG

Untuk mewujudkan sistem pertahanan setempat dengan menggalakkan penyertaan rakyat dalam AW, galakan dan kerjasama kerajaan negeri telah diperolehi melalui Penubuhan Jawatankuasa Pendukung AW (JAKPAW) di setiap negeri. selaras dengan itu jawatankuasa Panglima-panglima ke 299 pada 5 Apr 95 telah meluluskan konsep anak angkat melalui JAKPAW negeri-negeri. Peranan dan fungsi JAKPAW ialah berlandaskan PMAT 1/96. JAKPAW telah memberikan sokongan dan menyemarakkan pembangunan AW.

Sokongan dan kerjasama yang dirancang oleh kerajaan negeri ialah :

  • Kem Gunasama

  • Promosi dan pendedahan tentang AW

  • Menggalakkan penyertaan melalui komitmen majikan

Untuk penyelarasan JAKPAW seluruh negeri, maka satu perundingan dikenali sebagai Sidang Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pendukung (SPJP) telah ditubuhkan pada 2 Nov 98. Ia bertujuan untuk menyelaraskan dasar dan aktiviti JAKPAW diperingkat Nasional. Pengerusi-Pengerusi JAKPAW terdiri daripada Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri yang merupakan ahli kepada SPJP.

SKAW

Forum khas ini diwujudkan untuk penyelarasan pendapat dan keseragaman pelaksanaan pembangunan Askar wataniah. Persidangan adalah dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera darat dan ahli-ahli terdiri daripada komander-komander Rejimen serta turut hadir wakil MKTD, wakil MK Medan TD, Wakil Divisyen, Wakil Puswatan dan Timbalan Komander PALAPES. Sejak penubuhan forum ini banyak kertas kerja telah dibentang dan dipersetujui untuk pembangunan AW.

"TAAT DAN BERSEDIA SETIAP MASA"